Wednesday, August 15, 2018

| Trip ke Penang dengan ETS dan BAS |

Assalamualaikum and hai semua,

Minggu lepas, sis dan kawan-kawan sis iaitu Matuss, Zaty dan Azie pergi ‘travelcay’ ke Penang selama 5 hari 4 malam bermula dari Isnin sampai Jumaat. Memang sengaja pilih hari bekerja sebab harga hotel lebih murah dan orang kurang ramai. Memandangkan ada yang bertanya, nak kongsi sikit lah itineri dan perbelanjaan kami kat sana !

Sebenarnya, sis dan Matuss ke Padang Besar pada hari Rabu, kiranya kami jalan-jalan di Penang untuk 4 hari sahajalah, manakala Zaty dan Azie pula ke Escape Penang hari Rabu tu.

Jumlah perbelanjaan pengangkutan, hotel, dan makanan selama 4 hari 4 malam (tidak termasuk beli-belah, buah tangan dan Padang Besar) ialah RM 375.

HARI 1

Kami dah tempah tiket ets beberapa minggu sebelum. Kami pilih ETS Platinum Class, dengan kerusi berempat saling menghadap, naik dari KL Sentral jam 11.25 pagi dan tiba di Butterworth jam 3.40 petang. Harga tiket ets ialah RM 79 sehala, RM 158 return. Kalau ada KTMB-I Card, RM 51 sehala, RM 102 return. 

Dalam ETS memang selesa dan sejuk, ada kafe, tandas dan surau. Perjalanan hampir 5 jam tu memang dipenuhi dengan sesi membawang, mendengkur, dan melantak bekal dari rumah. Sampai di stesen komuter Butterworth, naik shuttle bas percuma di platform 19 atau 20, untuk ke Terminal Feri. Sepatutnya boleh jalan kaki je, tapi memandangkan Penang Sentral sedang ‘under construction’ jadi kena naik bas. Tambang feri RM 1.20 sahaja seorang boleh beli di kaunter ok.

 

Feri bergerak setiap 20 minit. Perjalanan feri pulak dalam 15 minit untuk ke pulau (Georgetown). Turun dari feri, terus cari bas CAT iaitu bas percuma untuk ke hotel. Tapi disarankan naik grab sebab dah tentu sampai depan hotel terus. Kami punya hotel di Jalan Penang, turun je bas CAT kat Jalan Penang melilau kiri kanan ikut google maps untuk cari hotel. Haha. Alhamdulillah jumpa sebab hotel kami betul-betul tepi jalan besar Jalan Penang tu.

Hotel kami dah tempah 2 minggu sebelum. Itupun lepas puas scroll Booking, Agoda, Traveloka, Trivago (sampai iklan terngiang di telinga), usha review yang ok, harga yang ok, tempat yang ok, makanya bertemu lah dengan Grand Inn Penang Road dengan harga RM 250 untuk 4 malam untuk double room (katil queen dengan private bathroom). 

Location memang boek ! Ada dua bus stop terdekat untuk tunggu bas rapid atau HOHO, kiri ada 7-Eleven, kanan ada tempat beca, belakang ada Jalan Transfer (roti bakar famous), depan ada kedai mamak 24 jam dan Subway, jalan 5 minit ke Chowrasta dan Mydin dan banyak boleh pergi dengan jalan kaki dalam 10 minit je. 

Receptionist pun peramah dan baik sangat, boleh mintak iron, boleh tanya itu ini. Bilik pula cukup selesa untuk 2 orang, bersih, selamat, ada tv, ada aircond (lambat sejuk tapi bila dah sejuk ok), ada meja cermin, cumanya tak ada almari baju je, kalau ada dah perfect dah. Tapi, recommended lah ok !


Masa check in hotel tu dah pukul 5.30 petang, jadi kami decide untuk rehat dulu. Lepas maghrib terus gerak Gurney Drive naik Grab (sebab malam dan hari pertama so tak berani lagi cari bas). Cadangnya nak makan kat gerai-gerai tepi Gurney Plaza tu tapi ramai peniaga dan pelanggan orang cina (kecuali ada satu lori pasemboq mamak), so kami jalan-jalan dalam Gurney Plaza. Gurney Plaza sama je macam pasaraya/shopping mall lain (boleh skip). 

Kemudian kami ke Padang Kota naik Grab. Padang Kota ni medan selera tepi laut. Masuk je pintu gerbang medan selera terus kena serbu dengan peniaga-peniaga kat situ. Nak makan apa, nak minum apa, siap lap kan meja, sebut segala menu, agak terkejut lah haha so kelam kabut order makanan. Char Kuey Teow udang dengan teh O ais. 

Orang kata kalau mai Penang tak rasa pasemboq tak sah, jadi kami berempat kongsi pasemboq sedulang RM 12 (harga berdasarkan apa yang dipilih). Nasihat sis, tolong tanya dulu berapa harga makanan sebelum order ok. CKT udang tu RM 8 (tapi udang banyak lah tapi ckt abang depan kolej serumpun lagi sedap lah) dan teh O ais RM 2. Tepi medan selera (tepi laut) ada orang jual mainan, aiskrim, jajan, boleh ambil angin malam yang sepoi-sepoi bahasa. Lepas tu balik hotel, tidurrrrr.

ETS KLS-BW (return) = RM 102 (KTMB-I card)
Hotel 4 malam = RM 250/2 = RM 125
Feri = RM 1.20
Grab = RM 8 (setelah dibahagi)
Makan malam (CKT + Teh O Ais) = RM 10
Pasemboq = RM 12/4 = RM 3

JUMLAH HARI 1 = RM 249.20


HARI 2

Pagi-pagi dengan semangat yang membara kami pun mencari Roti Bakar Jalan Transfer yang famous tu dengan pertolongan Google Maps. Dalam 3 minit je jalan kaki dari hotel. Ianya warung terletak di antara bangunan, bersebelahan dengan Hotel Tido. Kami pun dengan penuh semangat pesan roti bakar telur goyang, roti bakar marjerin, nasi dalca ayam goreng (kongsi 2 orang), teh O panas dan air suam.



Dah kenyang tu, kami pun jalan kaki ke Chowrasta untuk usha bas HOHO (Hop on hop off).  Harga pelajar dengan myKad untuk single trip RM 5, 24 jam RM 12, 48 jam RM 20, 3 hari RM 30. Kami cari kaunter tak jumpa, jadi nampak je bas HOHO parking depan Pasar Chowrasta tu kami pun tanya. Dia kata tiket boleh je beli dalam bas. Kami ambil yang 24 jam RM 12. 

Selain HOHO, boleh naik bas rapid 101 yang lalu banyak tempat dari Jeti sampai Teluk Bahang, dengan tambang yang lebih murah. Tapi sis cadangkan pilihlah bas HOHO sebab lagi selesa dan tenang dan lapang dan pemandu bas tidak drift, siap ada pemandu pelancong lagi yang describe setiap tempat yang kita lalu. Lepas tu, kami memulakan perjalanan ke Gurney Drive (Stop 1) dengan Bas HOHO City Route, untuk transit ke Bas HOHO Beach Route, untuk ke Taman Negara Penang (Stop 20).


Dipendekkan cerita, kami tiba di Taman Negara jam 12.30 tengahari dengan perut yang lapar. Makan tengahari nasi goreng ayam RM 5.50 dan ais kosong RM 0.50 kat gerai depan pintu taman negara tu. Taman negara ni ada dua pantai, Turtle Beach dan Monkey Beach. Korang boleh hiking atau naik bot untuk ke mana-mana. 

Untuk jungle trekking dan hiking di taman negara ni percuma sahaja. Walaupun tanpa guider, ikut sahaja route yang disediakan dan insyaAllah akan selamat tiba. Untuk bot, ada kaunter bot kat depan pintu taman negara tu. Memandang kami datang hari Selasa, orang pun tak ramai, kaunter bot pun ada tiga je, kami survey lah tiga-tiga. 

Setelah sesi tawar-menawar, kami decide untuk hiking ke Turtle Beach (percuma), ambil pakej bot RM 80 untuk 4 orang (RM 20 untuk seorang), naik bot dari Turtle Beach, singgah di Monkey Beach, dan ambil bot untuk balik ke jeti pintu taman negara. Murah, sebab kami warganegara dan hari bekerja tau guys, kalau tidak, harga mungkin dua kali ganda atau lebih.

Mula hiking setelah kekenyangan. Kami sumpah tak sangka yang trek sumpah mencabar dan sumpah bukan calang-calang. Dah lah sis lama memerap dan mendugong di rumah, tiba-tiba ternganga tengok tangga yang tinggi. Nak tak nak, kami teruskan je sebab memang dah niat. Memang tak sia-sia dah pesan bot tadi, kalau tak, ada yang tidur kat pulau sebab tak sanggup nak hiking patah balik haha. Nasihat sis, korang kalau nak hiking, tolong bersedia dengan baju dan kasut dan bekalan air yang sepatutnya ok.



Selepas 1 jam 20 minit yang dianggarkan, jam 2.30 petang, kami pun tiba di Turtle Beach dengan hati yang puas ! Sumpah puas ! (Rindu pula kat laut) Turtle beach tak boleh mandi, tapi satu tarikan kat sini ialah Pusat Konservasi Penyu, itu pun tersorok di hujung pantai (jumpa setelah gigih mencari). Boleh tengok penyu dari yang kecik sampai lah yang besar. Cute !  

 


Pukul 3, bot Selaju Angin kami pun sampai kat jeti Turtle Beach. Best betul naik bot haha sebab lama tak naik. View dia Subhanallah. Jumpa helang, singa laut. Singgah kat Monkey Beach dulu (dalam pakej). Monkey Beach ni lagi hidup berbanding Turtle Beach. Ada jetski, pantai boleh mandi, kedai jual air kepala dan jajan. Air kepala RM 6 sebiji ye. 

Ohya, walaupun kat Turtle Beach ada turtle, jangan risau kat Monkey Beach tak ada monkey pun haha. Lepak sini sampai pukul 4 kemudian naik bot lagi sekali sampai ke Jeti Pintu Taman Negara. Penat memang penat tapi sangat puas !



 

Dari Taman Negara kami singgah di Pasar Malam Batu Feringghi (Stop 17) tapi pasar tak buka lagi jadi kami balik terus ke Komtar sebab penat. Tapi sis cadangkan korang singgah dulu Tropical Spice Garden (Stop 19), kemudian baru ke Pasar Malam (Stop 17). 

Apa yang ada di Komtar? Komtar ada terminal bas utama dan banyak pasaraya dan banyak pakcik beca. Lepas solat maghrib kat surau kawasan komtar tu, kami pun naik beca apek untuk ke hotel. Saja nak merasa. Tapi sis sedih sebab apek tu terbatuk-batuk masa kayuh kami. Rasa nak tolong kayuh. Tapi tengok dia termenung tepi jalan tunggu orang pun sedih juga. Jadi, kami bagi RM 20 walaupun dia minta RM 15. 

Sampai kawasan hotel, taktau nak makan apa dengan badan yang dah penat, pergi kedai mamak depan hotel makan roti canai dengan milo ais. Kemudian, tidurrrrr (Tipu je. Balik hotel, lepas mandi dengan solat, sempat lagi tengok tv dengan main phone).


Sarapan (Roti bakar telur goyang, roti bakar marjerin, nasi dalca ayam goreng, teh O panas, air suam) 
= RM 14/2 = RM 7
Tiket bas HOHO = RM 12
Makan tengahari (nasi goreng ayam + ais kosong) = RM 6
Sewa bot = RM 80/4 = RM 20
Air kelapa = RM6/3 = RM 2
Beca = RM 20/2 = RM 10
Makan malam (Roti canai + milo ais) : RM 3.80

JUMLAH HARI 2 = RM 60.80


HARI 3

Hari ketiga ni sis kecuali kan dari bajet sebab sis dan Matuss ke Padang Besar (tidur di Penang) manakala Zaty dan Azie ke Escape Penang. Cerita Padang Besar kat sini. Tapi nak kongsi sikitlah harga Escape Themepark kat sini. Lagi awal beli, lagi murah tau. Kalau naik bas HOHO ke Escape boleh turun kat Entopia (Stop 21).  

Nak kongsi juga, Zaty dan Azie ada pergi Avatar Secret Garden kat Tanjung Tokong malam tu, naik bas rapid 101. Bayar RM 1 je untuk masuk tokong tu, sebab taman tu memang betul-betul dalam tokong.



HARI 4

Pagi yang indah dan nian dan lapar, kami pun ronda-ronda kawasan hotel untuk cari sarapan. Tak ingat sarapan kat jalan apa tapi sis makan nasi lemak telur mata dengan teh O panas (asyik-asyik teh O). Lepas tu kami jalan kaki ke Chowrasta untuk membeli belah (sampai terbelah-belah duit sis). 


Chowrasta ni tempat orang (kebanyakkannya cina, ada juga mamak) jual macam-macam benda. Dari gelang jade, ke kasut, ke jeruk, ke ikan kering ikan basah, ke kain batik dan macam-macam lagi. Kedai Jeruk Pak Ali yang paling famous tu pun ada kat Jalan Chowrasta. Sekilo jeruk campur RM 13. Fridge magnet boleh dapat 3-4 biji RM 10. Kain batik Tiga Serangkai RM 18 sehelai. Tshirt Penang mula dari RM 7 dan ke atas (tak sempat ambil gambar kat Chowrasta sebab tangan berat kiri kanan). 

Lepas membeli-belah, kami terus gerak ke Penang Hill atau Bukit Bendera. Boleh naik bas HOHO (RM 5 single trip) atau bas rapid 204 (RM 2). Perjalanan lebih kurang satu jam. Sampai di kaki Bukit Bendera, terus beli tiket tren RM 10. 

Walaupun kami pergi hari Khamis tapi barisan beratur agak panjang, lagi-lagi ada lawatan budak sekolah. Dalam sejam juga beratur (tak dapat bayang kalau pegi hari minggu) untuk naik tren paling curam di dunia ni. Memang curam betul. 

Sampai atas suhu memang sejuk tapi tak perlu pun bawa sweater atau jaket. Suhu nyaman-nyaman gitu. Sebelum apa-apa, cari makan dulu. Harga makanan masih standard. Nasi goreng kampung RM 6 dengan kentang goreng RM 5 semangkuk, kongsi berdua, air bawa sendiri.



 

Lepas tu baru mengorak langkah. Heritage bungalow, love lock ala-ala kat Paris dan Namsan Tower, sky walk, sky deck, muzium (berbayar), the habitat (berbayar, RM 28 harga pelajar), little village (berbayar, RM 5 je) dan beberapa tempat lagi boleh tengok sini. Dari atas sini, memang boleh nampak Pulau Pinang dengan jelas. Cantik !

 


Kami masuk Little Village je RM 5. Ada love besar banyak banyak tu (dahlah loner pastu sibuk nak love bagai) dan boleh pakai baju Snow White sebab ada rumah The Seven Dwarfs kat situ. Rasa nak hantuk kepala kat dinding je tengok gambar pakai baju Snow White tu tapi seumur hidup sekali apa salahnya kan lololol. 

Dah puas pusing Penang Hill, dan selamat turun, kami naik bas dan turun di Komtar jam 5.30 petang (kalau tak silap). Bas tu betul betul berhenti depan gerai burger. Haa apa lagi, terus duduk lah pesan benjo. Lepas tu, pusing-pusing cari lorong street art. Lorong street art kat Georgetown ni memang bersepah-sepah. Kadang jalan-jalan jumpa, kadang tercari-cari tak jumpa pula. Lorong-lorong street art ni kebiasaannya banyak kedai-kedai jual souvenir. Jadi, kalau tak beli kat chowrasta, boleh cari kat sini juga.



Kononnya nak cari ais kepal, tapi tak jumpa-jumpa pula, tekak dah kering, lepak mamak minum milo ais dulu kat kawasan Little India. Lepas tu cari masjid nak solat maghrib. Nak dijadikan cerita, lepas maghrib tu ada ceramah dan bacaan yaasin dan tahlil, kami pun tumpanglah sekaki dua kaki sampai ke isyak. Dapat pula roti telur dengan teh tarik percuma sebab makcik-makcik tu beria ajak makan sekali, Alhamdulillah. 


Dah pukul 9.30 malam baru nak cari jalan pulang haha. Masa ni lah kami lalu Lebuh Chulia yang sepanjang-panjang lebuh tu dipenuhi dengan bar, kelab, food truck dan stall Chinese. Dahlah baru balik dari masjid, pergi pula kawasan gitu, Allahuuu ><. Tapi memang boleh rasa ‘malam Penang yang hidup dan meriah’, di mana inilah tarikan untuk pelancong asing. Kami sempat je singgah street art Mr. Bean dan Monalisa, ambil gambar jap. Alhamdulillah sampai hotel dengan selamat.



Lagi seperkara sis nak pesan, kedai-kedai atau gerai-gerai kawasan Georgetown ni betul-betul hidup jam 12 tengahari, dan tutup jam 8 malam (termasuk Mydin, kecuali Padang Kota, pasaraya besar area Komtar dan Gurney). Selepas 8 malam, yang paling hidup ialah bar, kelab, dan sewaktu dengannya lagi lagi kawasan Jalan Chulia tu. Kalau rasa nak cucuk langit dengan kepala bintang-bintang boleh lah singgah.

Sarapan (nasi lemak telur mata + teh O panas) : RM 3.20
Tambang bas HOHO (sebab nak selesa) : RM 10
Makan tengahari (nasi goreng kampung + kentang goreng) : RM 11/2 = RM 5.50
Tiket tren Penang Hill : RM 10
Tiket Little Village : RM 5
Benjo + Milo ais : RM 4.80


JUMLAH HARI 4: RM 38.50



HARI 5

Macam biasa, pagi-pagi cari sarapan dan sarapan sis tetap sama iaitu nasi lemak telur mata dan teh O ais sebab malas nak fikir haha. Lepas tu, sambung cari street art sampai ke Clan Jetty. Tapi jeti tutup lagi jadi kami ambil gambar mana yang mampu je. 

Sepanjang jalan kawasan street art tu banyak kedai sewa basikal yang offer kami untuk sewa basikal mereka tapi kami decide untuk jalan kaki je, tapi sempat lah rembat sekeping brosur peta street art. Mencabar ok guys untuk cari art-art ni walaupun ada peta di tangan dan google map di telefon. Siap tanya orang lagi haha. Kami pun dah tak tahu jalan ke mana tiba-tiba sampai Esplanade Padang Kota haha.







Lepas ambil gambar dan beli air, naik bas CAT untuk turun kawasan hotel. Packing barang dan kemas apa yang patut dan check out jam 11 pagi. Lagi satu, hotel kami tu boleh tumpangkan barang kita selepas check out tanpa bayar apa-apa tau. Jadi, kami pun sambung berjalan cari ais tingkap yang famous di lorong sebelah pasar Chowrasta. 

Nama dia ais tingkap, tapi bukanlah tepi tingkap pun, sis pun tak tahu apa yang tingkap. Yang pasti ia air campuran sirap, kepala, selasih, dan ais. Susah nak describe rasanya tapi acceptable lah di lidah ku. Kemudian, cari secondhand book store. Kedai buku ni memang tersorok, dalam Pasar Chowrasta, tingkat atas, belakang sekali. Tapi tak beli apa-apa pun. 


Lepas tu kami cari Potterhead Malaysia pula ! Sama lorong dengan Famous Teochew Cendol yang panjang orang beratur. Jadi pelanggan pertama tolong buka kedai Potterhead tu, dengan bermodalkan RM 10 untuk sebotol ‘serum’, kami pun berialah cuba semua props dan ambil gambar (lagi gambar di IG @aamiraaqilaa). 






Lepas tu, cari nasi beriyani (bukan nasi kandar) sebelum mengangkut beg pulang. Dari hotel naik Grab ke terminal feri, naik feri ke Butterworth (percuma), naik shuttle bas percuma ke stesen komuter, naik ETS dari Butterworth jam 4.25 petang, dan tiba di KL sentral jam 8.50 malam. Alhamdulillahhh

Sarapan (nasi lemak telur mata + teh O panas) : RM 3.20
Ais tingkap : RM 2
Veritaserum : RM 10
Nasi beriyani : RM 8.80
Grab : RM 5/2 = RM 2.50


JUMLAH HARI 5 : RM 26.50


Kesimpulannya, Penang ialah tempat yang sangat sesuai untuk 'travel beginner' sebab 'travel vibes' tu sangat terasa lagi-lagi dengan ramainya pelancong asing yang ber'backpacking' di sana sini. Nak lagi 'travel feel' boleh tinggal di hotel ala dormitri atau kapsul. 

Bas rapid pun sangat mudah dapat untuk ke mana-mana. Sis cadangkan download dan guna apps MOOVIT, sangat sangat sangat bagus untuk panduan perjalanan dan route bas-bas rapid. Google maps pula memang apps paling paling paling wajib, memang pemandu arah utama untuk ke mana-mana. 

Powerbank dan air kosong jangan lupa sentiasa bawa. Nak senang bawa backpack, boleh letak semua dalam tu. Bawa juga Salonpas atau Yoko Yoko atau minyak angin atau yang sewaktu dengannya kalau rasa korang akan perlukannya (macam sis) haha. Kalau ada brosur atau map kat kaunter hotel atau mana-mana kedai, ambillah buat rujukan dan kenangan, percuma saja biasanya, kalau kena bayar tu mesti menipu haha.

Penang was great ! Selamat ke Penang geng !